Sebelum ini saya ada membincangkan aqad-aqad ( dikenali juga sebagai kontrak) dalam takaful. Dan salah satunya adalah wakalah.
Perkataan wakalah sebenarnya di ambil daripada bahasa Arab yang bermaksud perwakilan. Kalau dilihat dari segi bahasa ia bermaksud menjaga, menjamin, menyerahkan dan mengganti. Dari segi pengertian syarak, ia merujuk kepada satu pihak menyerahkan sesuatu urusan yang boleh diwakilkan mengikut syarak kepada pihak lain. Dalam perspektif Islam, wakalah adalah harus digunapakai selagi mana ianya tidak bertentangan dengan syariat Islam.
Antara dalil yang menjadi sumber bahawa prinsip wakalah adalah dibenarkan ialah berdasarkan kisah Ashabul Kahfi sebagaimana yang telah diceritakan dalam Al-Quran:
… sekarang utuslah (wakilkanlah) salah seorang daripada kamu membawa wang perak kamu ini ke Bandar, kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah dia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya (Al-Kahfi: 19)
Sepertimana dalam jualbeli ada rukun-rukunnya, begitu juga dengan wakalah juga mempunyai rukun-rukunnya, agar kontrak wakalah yang kita lakukan adalah sah. Antara rukun-rukunnya ialah pewakil (al-muwakkil), penerima wakil (al-wakil), urusan yang diwakilkan (al-muwakkal fihi) dan ijab qabul (sighah).
Seorang pewakil, mestilah berhak keatas harta atau urusan yang hendak di wakilkan. Seorang wakil pula mestilah berakal bermaksud mampu membuat pilihan antara baik dan buruk, rugi dan juga untung, Urusan yang hendak diwakilkan pula mestilah jelas & difahami oleh pihak wakil bagi mengelakkan sebarang kesamaran dan penipuan.
Adakah semua urusan boleh diwakilkan?
Tidak semua urusan boleh diwakilkan hanya urusan atau kendalian yang berkaitan dengan harta sahaja yang boleh diwakilkan. Berkenaan ibadah jasmani seperti solat, dan puasa tidak sah diwakilkan kecuali ibadah haji.
Dalam industri takaful, prinsip wakalah adalah sebahagian daripada asas kepada sistem operasi syarikat. Di mana syarikat adalah wakil kepada peserta yang bertanggungjawab menguruskan dana yang telah diwujudkan dengan penuh amanah, telus dan professional. Untuk memasarkan produk-produk, syarikat juga melantik orang perseorangan sebagai wakil kepada syarikat dengan dibayar upah atau komisyen.
“Demi hayatku yang berada dalam kekuasaan Allah, tiada siapa akan masuk syurga jika beliau tidak melindungi jirannya yang berada dalam kesusahan”
Diriwayatkan oleh
Imam al-Bukhari dan Imam Muslim



Recent Comment