Indahnya Ciptaan

Sebenarnya disebalik perkara yang tidak menyenangkan yang kita rasa setiap hari, ada reka cipta indah yang tidak mampu dilihat dengan mata dan pengetahuan kita yang serba terhad. Hanya mereka yang memiliki mata batin yang tajam boleh mengenali keindahan dan itulah sebabnya mengapa mereka jarang mengeluh, walaupun mereka menghadapi keadaan yang sukar dan berat. Boleh jadi anda pernah mendengar kisah ini…

Suatu hari seorang anak bermain di atas lantai, sementara ibunya duduk diatas kerusi sambil menyulam. Anak yang sedang bermain kemudian menoleh kearah ibunya sambil perhatikan apa yang dibuat oleh ibunya. Dia melihat sulaman ibunya dari bawah dan berasa hairan. Dia bertanya kepada ibunya…

“Apa yang ibu sedang lakukan?”

“Ibu sedang menyulam nak”, Jawab ringkas ibunya sambil terus menusukkan jarum dengan benang ke permukaan kain.

“Tapi buat apa mak?” Anak itu masih bertanya hairan.”Sulaman ini kelihatan buruk sekali. Hanya benang-benang yang tidak tersusun dan tidak menarik untuk dilihat”.

Ibunya tersenyum manis melihat keletah anaknya itu. Lalu dia memberi isyarat pada anaknya untuk berdiri.

“Berdirilah, nak” Ujarnya. “Tengok sulaman ini dari atas sini”

Anak itu berdiri menghampiri ibunya. Dia berjalan mendekati ibunya dan melihat sulaman karya ibunya dari atas. Dia berasa terkejut & kagum pada keindahannya.

“Begitu indah sulaman ini, wahai ibu. Padahal sulaman itu begitu buruk bila dilihat dari bawah.” kata anak itu.

Itulah contoh kehidupan kita ini. Kita hanya melihat sebahagian perbuatanNya dari bawah, maka kita dapati ianya buruk dan tidak menyenangkan, malah kita mengeluh dan menyalahkanNya. Kalau kita boleh bersabar dan berusaha melihatnya dari tempat yang tepat, tentu kita akan memiliki sikap yang berbeza. Pandangan mata hanya mampu melihat bahagian bawah dari reka cipta yang ada pada kehidupan ini, sementara dengan mata hati yang jernih dan dengan pengetahuan yang lurus, kita mampu melihat pandangan reka cipta dari bahagian atas. Dan ketika itu kita akan mampu melihat keindahanNya. Apabila kita mampu melihat keindahan itu, kita tidak akan mengeluh lagi bahkan kita akan merasa kagum pada reka cipta yang indah itu. Jika kita tidak mampu menggunakan mata hati yang jernih  dan tidak memiliki pengetahuan yang mencukupi, maka kita akan terus melihatnya dari bawah. Seperti seorang anak yang dipaksa makan ubat pahit oleh ibunya atau disuntik oleh doktor, kita tidak mengetahui apa yang terjadi pada diri kita kerana itu, kita mulai menyangka yang tidak baik dan kita menyangka yang buruk terhadapNya.

Sources: Bila Allah Menduga Kita; Syed Alwi Alatas

Tags: , ,

2 Responses to "Indahnya Ciptaan"

  • mancai says:
Leave a Comment