Di Mana Silapnya Ekonomi Islam Mundur

Tahukah anda dari lebih dua puluh negara Islam yang terdapat di peta dunia, tiada satu pun daripadanya yang diiktiraf sebagai negara maju setelah kejatuhan kerajaan Abbasiyyah yang dikenali sebagai Baghdad di Iraq dan Kerajaan Uthmaniah di Turki.

Kejatuhan era kegemilangan Islam itu di tangan Mongol pada pertengahan abad ke-13 dan perebutan kuasa dalam pemerintahan Uthmania awal kurun ke-20 menyebabkan hemegoni Islam yang dahulunya menguasai dunia pada ketika itu mula redup sehingga ke hari ini. Apa yang menghairankan, sungguhpun terdapat beberapa buah negara Islam yang kaya dengan Hasil Minyak, uranium dan sebagainya namun faktor hasil bumi ini masih gagal menaikkan taraf hidup masyarakat muslim diseluruh dunia.

Malah beberapa negara Islam yang dahulunya pernah menjadi bumi kelahiran para nabi dan rasul ‘dicabul’ dengan rakus oleh kuasa-kuasa besar dunia sehingga melumpuhkan ekonomi Islam sejagat.

Menurut laporan yang dikeluarkan pada Oktober 2009 oleh sebuah lembaga kajian yang berpusat di Amerika Syarikat iaitu Forum Pew Agama dan Kehidupan Awam, bilangan populasi penduduk Muslim dunia kini berjumlah 1.57 billion.

Jika difikirkan angka populasi itu agak besar. namun demikian, kenapa negara Islam masih gagal dalam legasi mempertahankan hak, maruah serta memperkasakan ekonominya.

Melihat kepada senario ini, teringat sabda Rasulullah S.A.W  dalam hadis Tsauban r.a yang antara lain maksudnya:

“Hampir terjadi keadaan dimana umat lain akan mengerumuni kamu bagai orang-orang yang makan mengerumuni makanannya”. Kemudian salah seorang sahabat berkata; “Apakah kerana sedikitnya kami ketika itu?” nabi berkata: “Bahkan pada saat itu kamu lebih banyak jumlahnya, tetapi kamu bagai ‘ghusta’ iaitu buih kotor yang dihanyutkan air ketika banjir”.

Melihat kepada maksud hadis tersebut ‘kemalapan’ dunia Islam sebelum kemangkatan baginda Rasulullah S.A.W telah diduga namun kebanyakkan negara-negara Islam seperti lupa diri dan enggan mengambil pengajaran daripada hadis ini.

Lihat sahaja apa yang telah berlaku di bumi berdarah Palestin. Kebanyakkan negara-negara Islam pada dasarnya kelihatan ‘gah’ untuk membela nasib penduduk muslim Palestin ini hanya mampu melayangkan propaganda.

Bagi mereka tindakan fizikal membela pejuang-pejuang Palestin ini akan mengaitkan mereka dengan pengganas. Dalam order dunia baru sekarang perkataan pengganas itu sendiri membawa maksud ‘perang’. justeru untuk lebih selamat mereka lebih suka memilih melihat pencabulan hak rakyat Palestin oleh Zionis.

Disinilah ‘kelumpuhan’ kebanyakkan negara-negara Islam. Penyakit pentingkan diri dan enggan bekerjasama menjadi ‘api dalam sekam’. Natijahnya, ekonomi negara-negara Islam terus menjadi bilis sementara negara-negara maju lain kekal menjadi jerung.

Artikel ini dipetik dari Majalah Jutawan edisi Mac 2010 tulisan Rakis Santa

Tags: ,

Leave a Comment