Tips Hilangkan Stress…. (Bhg 1)

Antara tips yang boleh diamalkan:

1) Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk

Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan. Selain itu kita juga akan diangkat darjat dan dicintai Allah.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu:

“Sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda: Sukakah kamu semua sekiranya aku tunjukkan kepada kalian akan amalan yang dapat menghapuskan kesalahan-kesalahan dan mengangkat beberapa darjat kalian? Mereka menjawab: Ya, wahai Rasulullah. Maka Baginda saw pun bersabda: Iaitu (antaranya) menyempurnakan wudhu walaupun dalam keadaan yang tidak disenangi (seperti kesejukan dan sebagainya) (Hadis riwayat Muslim)”

Firman Allah:

”…Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan mencintai orang-orang yang bersih (Al-Baqarah : 222)”

2) Lakukan kegiatan luar seperti bersukan

Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan dilupakan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa bersama rakan pergi beriadah. Ikatan persahabatan juga akan bertambah erat dan kukuh.

Islam menganjurkan kita mempelajari berenang, melimpar panah, menunggang kuda dan sebagainya. Al Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah mengelilingi para sahabatnya dalam kumpulan-kumpulan melimpar panah seraya mengalakkan mereka katanya `Limparlah kamu dan aku juga akan menyertai kamu sekalian’

Rasulullah bersabda `Allah lebih menyayangi orang Mu’min yang kuat dari orang Mu’min yang lemah’

Pepatah Arab yang berbunyi “Akal yang sihat adalah dari badan yang sihat”


3) Perbanyakkan membaca Al-Qur’an

Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai teman paling akrab pada sepanjang waktu.

Hazrat Abu Sa’id r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Allah Taala berfirman, “Jikalau sesiapa mendapati tidak ada masa untuk mengingatiku dan berdoa kepadaku kerana sibuk dengan al-quran maka aku akan mengurniakan kepadanya perkara yang terbaik yang Aku kurniakan kepada orang yang berdoa kepadaku. Ketinggian perkataan Allah Taala ke atas segala perkataan adalah seumpama ketinggian Allah Taala ke atas segala makhluk (ciptaanNya) .” (Hadis riwayat Tirmizi, Darimi, dan Baihaqi)

“Sesungguhnya al-Quran ini adalah tali Allah yang kukuh, ia cahaya Allah yang menyinar, ia pengubat yang mujarab, selamat sesiapa yang berpegang dengannya dan berjaya sesiapa yang mengikutinya (berittiba’ dengannya)”.

4) Amal diet dengan disiplin yang kuat

Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat. Diet yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis.

Fakta Sains menyatakan:

“Tekanan dapat mengurangi vitamin B dari tubuh dan mengurangi penyerapan nutrisi vital. Menjadi penting untuk memastikan makanan memiliki diet yang seimbang. Sikap dalam satu pengalaman atau bagaimana merespon terhadap peristiwa stress tergantung daripada seberapa banyak diet makanan seperti halnya pada kecakapan induvidu. Memakan makanan yang betul dan menjaga diet seimbang dapat menolong mengurangi stress dan mendorong lebih banyak tenaga. Cuba untuk membuat waktu makan menjadi tenang dan santai. Makan dalam perjalanan biasanya membuatkan pemilihan makanan yang buruk dan suatu persekitaran penuh kesibukan yang hanya akan menyumbang terjadinya tekanan yang lebih besar.”

5) Banyakkan Solat Sunat

Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada Allah.

“Dan pada sebahagian malam dirikanlah solat sebagai solat tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu akan meletakkan engkau di suatu tempat yang terpuji.” (Surah al-Israk : 79)

bersambung artikel akan datang….nantikannya ;)

Leave a Comment