Feb
3
Nak Melabur ke Melebur…
Pasaran saham bukan asing lagi kepada orang ramai, jika ditanya pasti ada diantara kita menyatakan yang mereka pernah bermain saham, mempunyai kenalan yang bermain saham paling tidak pun pernah mendengar mengenainya.
Tidak kira tahap pendedahan kepada pasaran saham, anda mungkin pernah terdengar kepada mitos berkaitan pasaran saham. Blog kali ni akan mendedahkan lima mitos yang biasanya dikaitkan dengan pasaran saham serta mengupas sejauh mana kebenaran mitos tersebut.
MITOS 1: Pasaran saham adalah kasino!
Tidak, pasaran saham bukan kasino. Melabur dalam saham adalah berbeza daripada berjudi kerana membeli saham bermaksud anda memiliki sebahagian daripada syarikat dan mempunyai hak sebagai pelabur.
Anda untung jika syarikat untung dan rugi jika syarikat menunjukkan prestasi yang tidak baik. Membeli saham bukan mencuba nasib dan mendapat keuntungan cepat kerana keputusan pelaburan adalah berasaskan maklumat bukannya bergantung kepada nasib, khabar angin atau kata hati…
MITOS 2: Hanya untuk golongan yang kaya atau berada
Bukan hanya orang yang berada sahaja mampu bermain saham kerana sesiapa sahaja yang mempunyai pengatahuan pelaburan yang baik dan wang simpanan, boleh melabur dalam pasaran saham.Pelabur yang berjaya tidak semestinya mereka yang kaya tetapi mereka yang menggunakan maklumat dengan berkesan.
Sebelum melabur dalam pasaran saham, anda perlu membuat kajian mendalam mengenai latar belakang syarikat, prestasi, jenis perniagaan dan pengurusan daripada prospektus, laporan tahunan, laman web syarikat atau melayari laman web Pelabur Malaysia.
MITOS 3: Masa yang paling baik melabur ialah ketika pasaran “bul”
Kita tidak semestinya melabur ketika pasaran bul iaitu ketika pasaran sedang berada dalam aliran menaik. Berbekalkan maklumat yang baik dan pemilihan saham teliti, pelabur boleh membuat keputusan yang baik pada bila-bila masa, sama ada ketika pasaran bul mahupun bear (pasaran menurun).
MITOS 4: Beli saham harga murah ketika pasaran bul
Membeli saham harga murah ketika pasaran bul dengan harapan harganya naik, bukan strategi pelaburan yang baik. Strategi baik ialah membeli saham syarikat yang mempunyai asas kukuh pada harga berpatutan kerana harga adalah hanya satu aspek daripada pelaburan saham.
Jangan keliru dengan konsep pelaburan nilai (value investing). Konsep Pelaburan nilai adalah bermaksud membeli saham syarikat berkualiti tinggi yang dinilai rendah oleh pasaran bukannya bermaksud membeli apa-apa saham syarikat yang harga pasarannya sedang menjunam…
MITOS 5: Mustahil melabur “tanpa maklumat panas”
Walaupun tanpa maklumat panas seperti khabar angin atau spekulasi, pelabur masih mampu membuat keputusan pelaburan yang baik jika melakukan penyelidikan sendiri atau mendapat khidmat nasihat pakar pelabur profesional (pastikan mempunyai lesen yang sah)
Ingat! Jika anda melabur hanya bersandarkan khabar angin dengan tidak melakukan sebarang kajian, anda sebenarnya terdedah kepada risiko yang lebih tinggi.
Dapat difahami disini mitos berkenaan pasaran sahan adalah tidak berasas dan satu andaian semata-mata. Sebagai pelabur yang bijak, jangan percaya mitos ini dan buatlah keputusan pelaburan berdasaarkan maklumat dan penyelidikan yang menyeluruh. Biar wang kita dilaburkan jangan biarkan ia dileburkan begitu sahaja….hehehe