Misteri Rumah Flat Tinggi

Malam itu Iqbil, Shumul, Jalil, dan Minuddin baru sahaja pulang dari Kompleks A MAS. Sepanjang hari mereka mebaiki pesawat A380 milik Qatar Airlines di Hangar 5. Keletihan yang ditanggungi tak dapat digambarkan lagi.

Jam menunjukkan tepat pukul 12 tengah malam. Mereka berempat berjalan kelesuan menuju ke pintu lif. Belum sempat Shumul menekan butang lif, tiba-tiba…

“Korang ada bau something tak?!” tanya Shumul.

“Aku dah lama terhidu bau busuk ni…” jawab Minuddin.

“Mak aku pesan, kalau terhidu bau busuk jangan tegur.” Jalil menoleh kiri kanan. Mukanya pucat seperti ketakutan. “Kemungkinan ada makhluk ghaib… pontianak!”

“Kau jangan cerita bukan-bukan time malam buta macam ni! Bulu tengkuk aku dah meremang ni!” Shumul menyapu-nyapu belakang tengkuknya.

Secara tiba-tiba Iqbil mara ke depan lalu menekan butang lif. Wajahnya serius seperti tidak menyelami suasana keruh ketika itu.

“Kau ok tak Iqbil?” tanya Shumul yang mengesan perubahan raut wajah Iqbil. “Kau tak takut ker hidu bau busuk ni?”

“Nak takut apa?! Dah aku yang kentut, perlu ker jugak aku takut bau kentut sendiri?!” ujar Iqbil selamba sambil menekan butang lif berkali-kali. “Alamak!”

“Kenapa?” tanya Jalil yang masih menutup hidung menahan bau kentut itu.

“Lif rosak!” ujar Iqbil lagi.

“APA?!”

Mahu tak mahu terpaksalah mereka menggunakan tangga untuk sampai ke rumah mereka di tingkat yang paling atas sekali iaitu tingkat ke 60. Nampaknya keletihan mereka semakin lama semakin bertambah.

“Aku rasa kita perlu bercerita sepanjang naik tangga ke tingkat rumah kita. Nanti, takdelah terasa sangat perjalanan kita ke atas,” cadang Minuddin.

“Aku setuju,” sokong Jalil. “Tapi kita kena bahagikan topik-topik cerita kita bagi setiap 20 tingkat.”

“Apa kata tingkat 20 yang pertama, kita cerita tentang perkara-perkara lucu yang dapat menghiburkan hati kita. Tingkat 20 yang seterusnya, kita cerita tentang pekerjaan kita sebagai Aircraft Engineer. Dan tingkat 20 yang terakhir, kita cerita perkara-perkara yang menyedihkan,” ujar Shumul panjang lebar.

“Kalau macam tu mari kita mula panjat tangga,” ajak Iqbil serta-merta.

Seperti yang dirancang, mereka berempat bercerita perkara-perkara lucu yang menghiburkan hati mereka. Sepanjang menaiki tangga dari tingkat 1 ke tingkat 20, mereka bergelak ketawa sepuas-puasnya.

Sampai di tingkat 21, mereka mulai bercerita tentang pekerjaan mereka. Riak muka mereka bertukar serius membincangkan isu-isu semasa dunia penerbangan. Tanpa mereka sedari, mereka telah sampai di tingkat 40.

Seterusnya, mereka berempat beralih pula ke topik yang menyedihkan di tingkat 41. Sepanjang menaiki tangga, mereka berempat mengalirkan air mata dan menangis sepuas-puasnya mendengar cerota sedih masing-masing.

Dan akhirnya mereka sampai di tingkat 60. Mereka berempat hampir kehabisan tenaga kerana menaiki beribu-ribu anak tangga. Minuddin menyeluk poket seluarnya untuk mengambil kunci rumah. Tiba-tiba dia teringat…

“Iqbil, time kita keluar rumah pagi tadi, kau yang last kuar kan?” Minuddin memandang tepat ke muka Iqbil.

“Ya, tapi kunci aku bagi kat Jalil,” jawab Iqbil.

Jalil menepuk dahinya berkali-kali. “Alamak!!! Kunci rumah tertinggal di dalam kereta Shumul!”

Lantas keempat-empat mereka jatuh pengsan kerana tidak sanggup untuk memanjat tangga sekali lagi. Begitulah berakhirnya misteri di sebuah rumah flat yang tinggi…

Apakah maksud yang inginĀ  disampaikan daripada Misteri Rumah Flat Tinggi

Haha… cerita ini takdelah seseram tajuknya. Cuma aku nak buat korang semua membaca cerita ni sampai habis. Untuk pengetahuan, ini juga merupakan sebuah cerita tiamsilan (misalan/andaian). Tamsilan bagi kita sebagai manusia menghabiskan usia kita.

Tingkat 1 hingga tingkat 60 dalam cerita ini adalah misalan bagi tempoh umur kita. Sebagai mana lazimnya kebanyakan umur manusia di akhir zaman dianggarkan sehingga 60 tahun.

Seperti mana kisahnya empat orang sahabat Aircraft Engineers di atas membahagikan tingkat-tingkat tersebut dengan topik-topik yang berbeza, begitulah juga yang berlaku ke atas kita. Pada usia muda remaja, kita habiskan dengan berhibur serta bergelak ketawa bersama kawan-kawan kita.

Seterusnya melangkah ke alam dewasa, kita mulai menumpukan perhatian dengan pekerjaan kita. Oleh kerana kita terlalu serius mengejar kekayaan melalui hasil pekerjaan, kita tidak sedar bahawa kita sudah sampai di hari tua.

Di hari tua, kita sudah tidak bermaya. Tenaga kita semakin berkurangan dan kita cuma mampu meratapi ketidakupayaan kita dalam melakukan pekerjaan. Hati kita akan dirundung kesedihan yang berpanjangan keran banyak amalan kebaikan yang belum sempat kita kerjakan.

Tetapi semuanya sudah terlambat apabila kita dihitung di mahkamah ALLAH SWT kelak. Oleh kerana kita lalai sepanjang usia kita – remaja, dewasa, tua – kita telah terlupa membawa kunci yang dapat membahagiakan kita kelak. Kunci yang sangat bernilai untuk kita memasuki ke pintu syurga. Kunci itulah sebenarnya IMAN bagi kita yang bergelar muslim.

Kesimpulan

Secara konklusinya, sebagai hamba ALLAH SWT, kita haruslah menggunakan masa yang kita ada dengan sebaik yang mungkin. Kerjakanlah perintah ALLAH tanpa mengira usia kita sekarang serta jauhilah larangan-NYA. Ingat! Ingat! Ingat! Sentiasalah berwaspada dan beringat-ingat dengan kematian. Hidup ini tidak semestinya tamat di usia tua, kadang-kadang usia muda pun boleh menemui ajal kematian. Oleh itu, sentiasalah membawa keimanan kita tidak kira ke mana saja kita pergi. Jangan sesekali tinggalkan keimanan kita.

Tags: , ,

2 Responses to "Misteri Rumah Flat Tinggi"

Leave a Comment