Feb
10
Pentingnya Keberkatan dalam Perniagaan
Tidak kira perniagaan kita berasaskan seca ra online atau offline, keberkatan adalah perkara penting yang kadangkala kita terlepas pandang. Bukan sahaja keredhaan ibu bapa kita, tetapi juga keredhaan dari Yang Maha Kuasa.
Macamana nak mendapat keberkatan daripada Yang Maha Kuasa? Contohilah etika perniagaan yang dilakukan Rasullullah s.a.w. Sememangnya perniagaan mampu menjana pendapatan yang lumayan namun melakukan perniagaan bukan semudah yang disangka. Ada adab dan peraturan yang perlu dipatuhi untuk memastikan setiap sen yang kita perolehi diberkati oleh Allah s.w.t.
Rasullullah sendiri menjalankan perniagaan untuk menampung kehidupan. Ketika Baginda berusia 12 tahun, Baginda telah mengikut bapa saudaranya ke negeri Syam untuk membantu menjalankan perniagaan. Sepanjang perjalanan ke sana, Baginda banyak melihat dan mempelajari adab serta cara berniaga. Sebelum itu, Baginda juga pernah menternak kambing.
Rasullulah s.a.w pernah bersabda;
“Sembilan daripada 10 punca rezeki datangnya daripada usaha berdagang dan satu daripada 10 lagi daripadanya adalah penternakan”
Islam tidak pernah melarang umatnya mencari kekayaan didunia, namun ia perlu seimbang dengan keperluan akhirat. Untuk mendapatkan keredhaan dalam berniaga beberapa perkara perlu dipatuhi agar setiap perniagaan yang kita jalankan mendapat keberkatan daripada-Nya.
- Jangan menjual atau membeli kecuali dengan akad yang sah.
- Barang yang diniagakan mestilah halal dan bukan yang diharamkan oleh syarak seperti arak walaupun pembelinya bukan Islam.
- Elakkan riba kerana ia merupakan dosa yang besar dan bahaya yang berat.
- Jangan menipu, mengkhianati atau memutar belit dan mengelirukan pembeli. Rasulullah s.a.w bersabda “Seseiapa yang menipu kita, maka dia bukan dari golongan kita” (Hadis riwayat Muslim)
- Haram memonopoli barang dagangan iaitu menahan dan mengumpulnya untuk dijual dengan harga yang lebih mahal.
- Elakkan bersumpah meskipun benar, apatah lagi kalau ia melibatkan pembohongan. Bersumpah dalam urusan jual beli tidak akan mendatangkan keberkatan.
- Usah mengambil kesempatan menaikkan harga barang bagi mengaut keuntungan yang berlebihan.
- Dalam berjual beli, elok bersifat sempurna baik perilaku, tidak menganaiya dan sentiasa berlebih kurang. Sifat baik dan pemurah akan menambahkan berkat.
- Peniaga perlu sentiasa menanamkan perasaan ingin mendapat keredhaan Allah denga cara mengeluarkan zakat harta perniagaannya.